Sunday, October 23, 2016

AMAN (SESI 1)



            Gelap malam itu tidak lagi menggentarkan Aman. Sejuk malam itu bukan lagi pokok persoalan. Amarah Aman malam itu lebih mengoncang perasaan. Marah dengan dirinya yang tidak mampu mengatakan tidak. Natijah dari ketidakmampuan diri sendiri mengatakan tidak itu, harus ditanggungnya. Aman kesal dengan diri sendiri.
            Mak Tijah tidak faham-faham. Aman tidak tahu Mak Tijah pura-pura tidak faham atau sengaja tidak mahu tunjuk yang dia faham. Sudah berkali-kali Aman kiaskan kepada Mak Tijah. Aman tidak mahu hati tua Mak Tijah terusik jika dia berterus-terang. Mak Tijah satu-satunya darah daging yang Aman ada. Mak Tijahlah yang sedari kecil menjaga dan mengambil tahu akan dirinya. Aman tidak mahu menyakiti hati Mak Tijah dengan keputusannya, jadi Aman cuba untuk kiaskan maksudnya dengan memberi seribu alasan. Tetapi Mak Tijah mempunyai jawapan untuk semua alasan yang dilontarkan.
Aman dapat mencium muslihat dalam semua perancangan ini, muslihat yang tidak diketahui Mak Tijah. Namun Aman terlalu lurus untuk merungkaikannya. Mak Tijah juga lurus. Tapi Aman pun sekadar menuduh. Aman tiada bukti asas. Apatah lagi bukti kukuh.  Aman hanya pelik, kenapa dirinya. Kenapa dirinya yang dipilih? Kenapa bukan Malik, anak Pak Harun, penghulu Kampung Bentan? Kenapa bukan Zaki anak Lebai Manaf? Kenapa bukan Murad anak Siak Ali?
            Kenapa mesti Aman si yatim piatu yang hidup menumpang dengan ibu saudara? Kenapa mesti Aman yang tidak ketentuan ibu bapa? Kenapa mesti Aman yang lurus bendul, kurus kering, hitam berkilat, tidak banyak bicara? Kenapa mesti Aman yang tiada harta benda?
            Semua persoalan tidak mampu dijawabnya. Haruskah Aman bertanya? Tapi bagaimana? Aman tidak tahu bagaimana mahu bersemuka dengan Habibah. Setiap kali Habibah berada dihadapannya, mulutnya terkunci, matanya tunduk memandang kaki, jari jemarinya sejuk seperti hari bersalji. Lantas apa yang mampu dilakukannya ialah melarikan diri. Aman selalu melarikan diri. Bila bertembung Habibah, itu saja yang mampu dilakukannya, setiap kali. Biar ditegur dan disapa, Aman kerap tunduk, diam dan membisu.
            Baginya Habibah itu terlalu cantik untuk disentuh oleh pandangannya. Terlalu indah untuk diajak berbicara. Aman rasakan seperti ada kasta antara mereka. Padahal, Habibah juga tidak ketentuan asal usulnya. Tetapi Habibah nampak seperti berharta. Habibah nampak tertib dan terjaga. Cuma Habibah janda. Tapi, apa salahnya dengan janda?
Hari pertama Habibah sampai di Kampung Bentan, Aman orang pertama yang ditemuinya. Aman bertembung dengan Habibah di kepala simpang masuk ke Kampung Bentan. Habibah yang menyapanya. Habibah bertanyakan rumah penghulu Kampung Bentan. Aman menumpangkan Habibah ke rumah penghulu dengan menaiki basikal. Habibah tidak malu membonceng basikal tua dengan Aman.
Aman ingat, waktu itu sudah senja benar. Matahari sudah labuh diufuk. Maghrib sudah masuk. Angin senja sudah bertiup. Aman pulang dari pekan, hantar pisang kepada Ah Seng, peraih hasil kebun Pak Rais yang dikerjainya.
Dari jauh, dia lihat kelibat perempuan berdiri di hentian bas. Perempuan itu memerhati ke arahnya, tapi Aman pasti perempuan itu sedang menunggu bas. Terlintas di fikirannya bahawa bas sudah tiada di jam-jam begitu. Bila Aman hampir dengan perempuan itu,  perempuan itu menahannya. Aman berhenti.
“Abang, boleh tunjukkan saya jalan ke rumah penghulu?” sebaik sahaja Aman berhenti perempuan itu terus bertanya.
Wajahnya gusar, biarpun begitu, suaranya lembut, menggegar sanubari. Sekilas Aman melihat susuk perempuan itu. Perempuan itu sungguh cantik. Perempuan itu bukan dari sekitar Kampung Bentan. Perempuan itu sangat asing di kawasan itu. Aman diam, memikirkan jawapan. Jalan ke rumah penghulu agak susah untuk diceritakan. Aman cuba. Tetapi perempuan itu tidak faham. Aman cuba lagi. Masih tidak faham.
Aman lihat kiri dan kanan, depan dan belakang. Mencari kelibat kenderaan orang-orang kampung di jalan, andai ada yang boleh ditumpangai perempuan itu. Tiada. Dengan rasa gugup, Aman menawarkan diri untuk menghantarnya ke rumah penghulu. Riak wajah perempuan itu bertukar, senyumannya lebar. Sebaris gigi putih tersusun cantik, empat batang gigi siong jelas kelihatan menambahkan kemanisan wajahnya.
“Terima kasih bang. Terima kasih sangat-sangat. Bibah tak tahu berapa lama lagi Bibah perlu tunggu di sini, kalau abang tak lalu tadi mungkin sampai malam Bibah di sini. Terima kasih bang.” Bibah.
Itu namanya. Bibah berkain batik, kebaya merahnya paras pinggul. Bibah bertenggek di tempat duduk belakang basikal Aman. Ada payung ditangannya. Payung merah. Kasutnya bertumit. Warna hitam. Beg tangannya kecil, juga hitam.
            Keesokan harinya, Aman dengar Mak Kiah jiran sebelah rumah bercerita tentang Bibah pada Mak Tijah. Aman memasang telinga setelah siap berpakaian kebun.
            “Kau tahu, ada janda muda yang ingin duduk tetap di kampung kita ini?” tanya Mak Kiah.
Mak Tijah menjemput adunan cekodok ke dalam minyak yang sudah mula panas. Mak Tijah diam tidak menjawab.
            “Janda itu sampai senja semalam. Kata orang, Aman yang menghantarnya sampai ke rumah penghulu. Kau tahu? Aman ada cerita? ” Mak Tijah menggeleng. Tenang. Mak Tijah menarik kerusi disebelah Mak Kiah. Duduk. “Aku dengar dia duduk di rumah arwah Senah. Berani dia sendirian di situ. Orang kampung ini, lalu depan rumah itu pun tidak berani, apatah lagi mahu bermalam. Beri sepuluh ribu pun belum tentu ada yang mahu.” Mak Kiah diam sebentar, dahinya berkerut. “Aku dengar lagi janda itu dulunya berkahwin dengan Imran, cucu si Senah. Padanlah dia datang tinggal di rumah itu. Mungkin rumah itu saja yang diwariskan. Tapi berani betul dia, kan Tijah?” wajah Mak Tijah ditenungnya sungguh-sungguh.
Mak Tijah menarik nafas panjang. “Alhamdulillah sudah ada orang yang duduk. Bolehlah dia jaga rumah arwah itu. Harap-harap lepas ini tidak ada lagi orang-orang kampung yang kena kacau.” Mak Tijah menyorong pinggan cekodok ke hadapan Mak Kiah. “Makanlah,” katanya. Mak Kiah sebaliknya menghirup teh panas yang telah awal-awal lagi dihidangkan Mak Tijah. Fikirannya menerawang.
            “Jom Tijah, kita jenguk si janda itu. Namanya Habibah,” Mak Kiah mengajak sungguh-sungguh.
Habibah. Aman bangun duduk dari baringnya. Melangkah keluar dari bilik, turun ke dapur.
“Aman, mari makan nak,” sapa Mak Tijah sebaik sahaja terlihat Aman di muka pintu dapur.
Aman mengangguk dengan senyuman. “Mak Kiah, sihat?” Aman berbasa-basi.
            “Macam inilah Aman. Alhamdulillah boleh jalan ke sana ke mari. Boleh jaga diri sendiri. Mak Tijah tak apa lah, ada kau yang boleh tengok sakit peningnya. Aku ini, siapa yang hendak tengok-tengokkan,” keluh Mak Kiah.
            “In shaa Allah Mak Kiah, saya boleh tengok-tengokkan. Bukan jauh pun rumah Mak Kiah,” balas Aman selepas menghirup teh panas yang dibancuh Mak Tijah.
            “Ntah Mak Kiah kau ni, apa yang dirabankannya pagi-pagi ini pun tak tahulah. Nah, makan cekodok ni,” Mak Tijah meletakkan sepinggan cekodok yang baru diangkat dari kuali, kemudian menjemput lagi saki baki adunan cekodok ke dalam kuali.
Mak Kiah akur. Dia makan. Pada suapan ketiganya, Mak Kiah berhenti menyuap.
            “Aman, betulkah kau yang menumpangkan Habibah ke rumah penghulu senja semalam?” Mak Kiah menagih jawapan Aman. Muka Aman ditenungnya. Mak Tijah juga menanti jawapannya.
Aman senyum melihat keletah Mak Kiah. Sehabis-habis mahu diketahuinya. Tapi Mak Kiah bukan jenis yang suka menjaja cerita ke merata kampung. Cuma bila ada yang bertanya, baru dia bercerita.
            “Iya Mak Kiah,” wajah Mak Kiah puas, kerana telah pasti cerita yang didengarnya itu benar. Memang benar Aman yang membawa Habibah ke rumah penghulu. Mak Kiah makan lagi. Aman menghabiskan teh panasnya, lalu bingkas bangun. Mak Tijah menghulur pelas air dan sebungkus plastik berisi cekodok, bekal Aman di kebun.
            Panas matahari mencucuk-cucuk kulit yang terdedah. Peluh berjurai-jurai membasahi segenap liang yang ada. Aman memangkas pelepah pisang yang terakhir sebelum berhenti. Aman duduk di dangau, mengelap peluh dengan tuala yang sudah sedia basah. Aman minum bekal air teh yang masih berbaki. Ada dua tiga pokok lagi yang ingin dipangkasnya.
            “Assalamualaikum,” sapa satu suara lunak yang diingatinya dari arah belakang dangau.
Aman menoleh.
            “Waalaikumsalam,” Habibah. Ada debaran yang merusuh di dada Aman. Mereka berdua, dalam kebun pisang Pak Rais. Aman gundah. Lalu terus bangkit dari duduknya, mencapai pelas air, Aman melintasi Habibah.
            “Abang,” Habibah menarik lengan Aman.
Langkah Aman terhenti. Debarannya makin kencang. Degupan jantungnya memekakkan.
            “Maaf, tidak elok kita berdua di sini. Saya balik dulu,” ujar Aman tanpa memandang Habibah. Aman takut, andai dipandang wajah itu, hatinya akan mencair, mengizinkan apa yang ditakuti terjadi. Habibah perlahan-lahan melepaskan lengan Aman. Sedar tidak sedar, Aman sudah di rumah. Sudah duduk di kerusi di dapur rumah. Ketika Mak Tijah meletakkan segelas air sejuk di hadapannya, baru dia sedar dia sudah berada di rumah. Aman minum lahap. Terasa tenang sedikit dadanya. Tidak lagi berombak seperti tadi. Mak Tijah rupanya memerhati gelagat anak saudaranya itu.
            “Kau kenapa Aman? Seperti nampak hantu saja.”
Aman memandang Mak Tijah. Seulas senyuman diberikan.
            “Tiada apalah Mak Ngah. Penat menebas. Hari ini panas betul,” Aman beralasan.
Mak Tijah akur dengan alasan itu, wajah Aman tidak lagi ditenungnya. Mak Tijah bangun mengalih lauk goreng di dalam kuali.
            “Aman mandi dulu ya Mak Ngah.”
            “Iyalah.”
Bilik air di rumah itu mengepam air telaga dari belakang rumah. Segar tak terkata saat curahan air sejuk mengalir di seluruh tubuhnya. Hilang semua keletihan yang ada. Terasa kembali bertenaga.
            Aman keluar dari bilik air dengan hanya berkemban tuala dari paras pinggang hingga lutut. Sekilas dia lihat ada tetamu di ruang dapur Mak Tijah, tetapi bukan Mak Kiah. Aman pandang sekali lagi, tersentak seketika melihat Habibah sedang bergelak ketawa dengan Mak Tijah. Mata mereka bertembung. Aman memeluk dadanya dengan telapak tangan, lekas-lekas Aman berlari naik ke atas rumah. Terdengar kekekan Habibah.
Aman menunggu di bilik sehingga Habibah balik. Sebaik Habibah balik, Aman turun ke dapur.
“Sudah mesra nampaknya Mak Ngah dengan Habibah?” sapa Aman.
Mak Tijah beralih dari muka pintu, sejurus Habibah hilang dari pandangannya. “Ramah benar si Bibah itu. Mak Ngah rasa, satu kampung pun sudah mesra dengannya.”
Mak Tijah menarik kerusi duduk di hadapan Aman. “Kau mahu makan dulu?”
            “Lepas Zohor nantilah,” jawab Aman.
            “Petang nanti si Bibah tu nak minta kau tolong tengokkan api di rumahnya. Tak ada api katanya. Semalam bergelap dia.”
            “Kenapa tunggu Aman? Kalau panggil Ah Peng, mungkin sudah boleh pakai api sekarang.”
            “Ada juga Mak Ngah cadangkan tadi, tapi dia mahu kau juga yang tengokkan. Mak Kiah kau lah yang cakap pada Bibah tadi, yang kau pandai. Mungkin juga sebab tidak ada duit untuk bayar upah si Ah Peng tu nanti. Kalau dengan  kau, Mak Kiah beritahu, percuma,” Mak Tijah mengulas senyuman mengingatkan perbualan mereka bertiga pagi tadi.
Petang itu Aman melangkah ke rumah Bibah, dengan debaran memenuhi segenap ruang dada. Bibah pakai kebaya ungu dengan kain batik hitam. Bibah tidak cuba menggoda. Mungkin faham di mana pendirian Aman selepas ditinggalkan dalam kebun pisang pagi tadi. Bibah tunjukkan ibu suis elektrik untuk diperiksa oleh Aman. Tanpa berbicara Aman mengerjakan apa yang perlu. Apabila semua lampu sudah dapat berfungsi, hari hampir senja. Aman meminta diri, namun dihalang Bibah.
“Bibah sudah buatkan abang air, marilah minum sikit.” Aman ingin menolak. “Seteguk pun tidak apa abang. Marilah,” pujuk Bibah. Aman akur.
Sebaik Aman duduk di bangku yang kelihatan usang, Bibah menuangkan air. Aman lihat ada pisang goreng juga. “Makan bang.”
“Bibah tak makan sekali?” Aman cuba memandang Habibah, tetapi tidak berani menentang matanya.
“Abang makanlah dulu, Bibah masih kenyang,” seulas senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Hati Aman mencair. Fikirannya mula merasuk pelbagai bayangan. Lekas-lekas Aman menghabiskan air yang terhidang lantas bangun.
“Abang balik dulu Bibah,” tanpa menunggu jawapan Habibah, Aman terus berlari pulang. Habibah memanggilnya. Aman terus berlari, enggan menoleh. Seperti pagi tadi, Aman tidak sedar sejak bila dia sampai ke rumah. Aman hanya sedar apabila Mak Tijah menegurnya. “Boleh dibaiki api di rumah Bibah itu?”
“Boleh.. boleh Mak Ngah,” Aman gugup, antara tersentak dan terkejut.
“Engkau ini kenapa? Menggelabah semacam saja mak ngah tengok.”
Aman tidak menjawab, sekadar cuba mengulas senyuman.
            “Man,” Mak Tijah menanti Aman memandangnya. “Kau mahu tidak menikah dengan Bibah?”
Kesejukan yang membekukan menyelinap dari ubun kepala Aman, turun hingga ke hujung jari kakinya. Matanya membulat. Terkejutnya yang amat mendengar soalan Mak Tijah itu. Lidahnya beku bersama seluruh tubunhya. Matanya memandang Mak Tijah, tetapi fikirannya tidak pada Mak Tijah. Pada tubir matanya ada Habibah.
            Aman bukan tidak suka memperisterikan Habibah. Dia mahu melompat menggapai awam saat mendengar soalan Mak Tijah, namun ada sesuatu yang memaku kakinya ke bumi. Aman tidak dapat merungkai apakah bendanya yang memakunya. Padanya Habibah itu penuh misteri. Mengapa hanya dia yang merasakannya. Mengapa orang lain tidak nampak apa yang dia nampak pada Habibah. Dia tidak sepandai mana berbanding dengan orang lain di Kampung Bentan itu. Tetapi dalam hal Habibah ini, mengapa hanya dia yang merasakan Habibah itu ada sesuatu yang tidak kena.
            Perlahan-lahan wajah Mak Tijah yang beriya-iya kembali ke tubir mata Aman.
“Hendakkah dia dengan Aman mak ngah? Aman bukan ada kerja tetap pun. Harap kebun Pak Rais saja.” Aman beralasan.
“Dia yang suruh mak ngah tanya kamu. Katanya, kamu tidak seperti lelaki-lelaki dalam kampung kita ini. Lagipun tidak elok dia duduk sendirian di rumah arwah.” Mak Tijah meneliti riak wajah Aman, cuba untuk membaca hatinya. “Kamu tidak kisahkan dia janda?”
Aman diam. Dia tidak kisah Habibah janda atau dara. Habibah cantik. Nanti dia cemburu Habibah dipandang lelaki lain. Kalau sekarang Habibah dipandang mata-mata keranjang di kampung ini, tidak mengapa, dia tiada hak untuk cemburu. Habibah bukan miliknya. Tapi kalau nanti Habibah sudah menjadi miliknya, bagaimana dia ingin lindungi Habibah? Dia bukan lelaki pagan. Dia lelaki pendiam yang tiada keyakinan diri. Namun itu bukan pucuk pangkalnya. Aman bertekad mahu merungkai misteri yang disimpan Habibah. “Nantilah mak ngah, Aman fikirkan. Aman masuk mandi dulu. Sudah hampir Maghrib. Aman nak ke surau.”
Mak Tijah mengangguk. Tidak lagi menggasak Aman dengan soalan-soalan lain.

No comments:

Post a Comment